image1 image2 image3

WELCOME TO MY PERSONAL BLOG|I LOVE TO DO CREATIVE THINGS | SIMPLE IS MY LIFE

Travelog Lambaian Kaabah | Dari Permulaan

Travelog Lambaian Kaabah | Dari Permulaan


Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

25 Mei 2015, Alhamdulillah, pejam celik usia semakin meningkat dan terasa masa terlalu cepat berlalu pergi. Tergerak hati juga ingin kongsi bersama sambil mengemaskan blog yang kian berhabuk lamanya. Ianya berkenaan tentang perjalananku dalam menyambut seruan untuk menjadi tetamu Allah pada 2 tahun yang lepas. Namun kelibat 2 tahun yang lepas, bagaikan baru 2 bulan sahaja aku tempuhi. Yup, memang rasa masa itu semakin pantas berlalu..




Ceritanya bermula sewaktu melanjutkan pengajian disebuah pengajian tinggi tempatan. Agak jauh dari kampung halaman ke bahagian Pantai Timur. Dahulunya dikenali sebagai Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin. Apabila ianya diiktiraf sebagai IPTA, ianya dinaiktaraf dan bertukar kepada Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) dan tidak lama kemudian ianya ditukar namanya sehingga kini Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu. Alhamdulillah dapat melanjutkan pelajaran disini selama 3 tahun setengah. Ada jugak setengahnya disebabkan "Transfer Credit", dapat jugalah singkatkan pelajaran disini. Pada awal Bismillah, agak sukar juga untuk menerima tawaran disini sebab tak pernah dengar nama UDM dan agak jauh dari rumah, namun hati tetap rasakan "Mungkin rezekiku ada disana, mana tau" dan itu jugalah yang mengukuhkan lagi semangat untuk sambung kesana.




Banyak pengalaman semasa menuntut ilmu disana dan sangat banyak. Dan disini jugalah pengalaman untuk melatih kepimpinan diri. Secara tidak langsung, terlibat pula dengan kepimpinan pelajar walaupun pada asalnya memang tidak tahu selok belok tentang kepimpinan. Selalu jadi pengikut je. Cakap pun berterabur.Malang betul..Haish.. Mungkin dari pengikut kita boleh gilapkan "Soft skill" kita. Pengalaman sebagai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniSZA selama 2 penggal. Pada penggal pertama hanya sebagai Ahli Majlis Tertinggi MPP sahaja. Portfolio sebagai Bendahari. Jaga duit la katakan. Setelah selesai satu penggal menjawat sebagai MPP (macam dah 'terms' orang bekerja dah) pada mulanya juga keinginan untuk "cuci tangan" sebagai MPP itu hampir tercapai, namun diatas usaha, dorongan, desakan oleh  rakan-rakan akhirnya kembali untuk bersama MPP. Tetapi kali ini jauh lebih berat untuk menggalas tanggungjawab sebagai Presiden MPP UniSZA sesi 2012/13. Pada waktu itu diberi kepercayaan oleh rakyat a.k.a pelajar (dah macam MB la pula) untuk menggalas tanggungjawab tersebut. Dan mungkin juga ada rezekiku disebalik cabaran yang mendatang semasa menggalas tanggungjawab ini.

Keajaiban Ayat 1000 Dinar

Cabaran dalam memegang jawatan sebagai Presiden MPP bukanlah seperti mana kita sebagai ketua darjah sekolah dahulu. "Seriously" sehinggakan jatuh juga prestasi pelajaran. Memang perlu akui ianya sukar dari apa yang kita jangkakan. Lebih-lebih lagi sebagai pelajar biasiswa tajaan JPA. Memang pada waktu itu, bagai masa hadapan jadi kabur dan gelap. Namun sandaran harapan serta pertolongan kepada Maha Pencipta Alam ini, gagahkan juga untuk terus perbaiki dan Istiqamah. Alhamdulillah, Allah bantu dalam pelbagai rezeki yang tidak kita sangka-sangka. Pertolongan Allah itu dalam pelbagai bentuk. Sabar adalah kunci segala kejayaan. Insyaallah. Itu jugalah kunci semangat untuk sentiasa bertawakal kepadaNya.



Sewaktu terima kesempitan yang dialami, teringat sewaktu zaman sekolah menengah dahulu, pada waktu itu, satu rombongan pelajar kawad kaki yang telah menjuarai peringkat kebangsaan membuat percutian ke Genting Highland. Pada ketika itu cikgu telah mempelawa untuk menyertai bersama jika ada kekosongan pada bas tersebut. Ketika itu saya hanyalah sebagai jurugambar/juru video semasa pertandingan kawad kaki kebangsaan tersebut. Apakan daya, cikgu menyatakan tiada kekosongan bas. Sedih, hiba dan rasa nak merajuk pun ada juga. Biasalah hati kanak-kanak memang begitu. Pada haritu juga terpandang didinding surau berkenaan Ayat Seribu Dinar dan saya membaca ayat itu untuk pertama kalinya.





“Barangsiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberi rezeki kepadanya tanpa di sangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkannya.Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.”
(Surah At-Thalaaq: 2 -3)



Setelah saya membaca ayat seribu dinar itu dengan harapan beroleh rezekiku untuk bersama mereka, memang tidak dijangka, seorang pelajar ketika itu memanggil saya dari bawah (sewaktu itu saya berada di surau asrama bahagian atas) untuk menyertai rombongan tersebut kerana ada kekosongan. Pelik, aneh dan teruja. Bagaikan ayat tersebut "Direct Cash" kepada saya. Allahurabbi. Dan semenjak hari tersebut dan sehingga kini, ianya menjadi satu amalan dalam hidup saya untuk mengamalkan ayat 1000 dinar tersebut. Walaubagaimanapun, jauh disudut hati mengatakan, yakinlah dengan rezeki Allah dan kita bertawakal kepadaNya. Insyaallah Allah akan memberi rezeki dengan yang kita tidak sangkakan. Maka benarlah kata-kata Tuhan yang Mencipta Sekalian Alam.


Bersambung...




Share this:

CONVERSATION

0 Komen:

Post a Comment